KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengadakan perbincangan semalam dalam usaha mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara kementerian bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan penyelenggaraan jalan raya.

KKR dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan bidang kuasa serta penguatkuasaan ketiga-tiga kementerian berkenaan yang saling berhubung kait dan memerlukan sinergi yang padu dalam mengatasi pelbagai isu mengenainya.

Menurutnya sesi libat urus kerjasama di KKR semalam dihadiri oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu serta pengurusan tertinggi ketiga-tiga kementerian.

"Sesi itu membincangkan jalinan kerjasama rentas kementerian dalam mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing.

"Perkara utama lain yang turut dibincangkan dalam sesi libat urus ini termasuklah pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan," menurut KKR.

Dilancarkan pada 24 Ogos 2023 sehingga 29 Mac lepas, KKR berkata aplikasi MYJalan telah menerima 13,391 aduan berkaitan pelbagai isu jalan raya dengan 26.51 peratus aduan melibatkan jalan milik KKR.

"Justeru, sesi libat urus ini amat signifikan dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pihak-pihak pemilik jalan yang lain demi memastikan keselesaan dan keselamatan pemanduan rakyat," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA